Nov 6, 2008


Norman bersedia terima Memey sebagai isteri kedua

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Aktor popular, Norman Hakim buat kali pertama mengakui, dia bersedia menerima pelakon muda, Memey Suhaiza sebagai isteri keduanya jika itu yang ditakdirkan oleh Allah.

Biarpun tidak mengesahkan yang dia mempunyai hubungan serius dengan aktres berusia 20 tahun itu, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 32, berkata, sebagai umat Islam, dia akur dengan ketentuan qada dan qadar.

”Ketika ini, dalam hati, rasa kasih dan sayang pada isteri saya, Abby begitu menebal. Setiap hari, saya berdoa pada Allah biarlah maut yang memisahkan kami berdua. Saya tidak mahu berpisah dengan Abby melalui perceraian.

”Namun, pada masa yang sama, saya tidak mampu menolak ketentuan andai saya dan Memey bertemu jodoh satu hari nanti,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, SAHARUDIN MUSTHAFA di sini hari ini.

Norman berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya dia dan Memey sudah merancang untuk berkahwin.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dikatakan terpaksa ditunda berikutan dia dan Memey ditangkap berkhalwat di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada 30 Oktober lalu.

Sehubungan itu, pelakon utama drama bersiri Gerak Khas itu berkata, jauh di sudut hatinya, dia berkongsi rasa kasih dan sayang dengan banyak pihak.

”Ada ‘wilayah’ dalam hati yang saya bahagikan pada Allah, pada ibu dan ayah, pada isteri saya, anak-anak dan untuk orang lain juga.

”Bila saya fikirkan masalah yang sedang saya hadapi ketika ini, adalah lebih baik saya berterus-terang berhubung perasaan yang sedang saya alami ketika ini,” jelas Norman yang berkali-kali menyatakan harapannya agar Abby memahami kedudukannya ketika ini.

Menurut Norman, dia tidak mampu untuk menghalang Abby meluahkan emosinya seperti yang berlaku di lokasi penggambaran Gerak Khas semalam.

”Saya mahu mencari penyelesaian terbaik dalam hal rumah tangga saya dengan Abby. Saya cuba memahami keadaannya ketika ini.

”Saya juga menyedari yang Abby seorang ibu yang baik buat anak-anak kami. Saya sangat menyayangi dia.

”Tetapi, kalau sudah tertulis takdir lain, apa daya saya sebagai manusia untuk menolaknya,” ujar Norman lagi.

Ditanya kenapa dia beria-ia mempertahankan Memey dalam kenyataannya semalam, menurut Norman, Memey merupakan ‘penyelamat’ kepada keadaan yang dialaminya ketika ini.

”Abby hadir dalam hidup saya sebagai pembakar semangat. Memey pula hadir sebagai penyelamat dalam kehidupan saya.

”Saya perlu mempertahankan Memey kerana dia juga ada keluarga yang terpaksa melalui episod ini.

”Seperti yang saya kata, ada banyak hati yang perlu saya jaga. Jadi, saya harap Abby benar-benar memahami keadaan saya ketika ini. Saya tahu saya dan dia (Abby) masih ada masa depan demi anak-anak kami,” kata Norman yang berhasrat untuk merujuk kepada pihak yang arif yang boleh menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.

Pada masa sama, Norman berkata, dia akan memohon petunjuk daripada Allah dengan solat sunat istikarah.

http://www.utusan.com.my

No comments: